Followers

Sunday 25 March 2012

MENCIPTA KEJAYAAN


Tiada kejayaan tanpa kerja dan usaha. Sejauh mana kerja dan usaha kita, sejauh itulah kejayaan yang bakal kita perolehi. Dalam satu kaedah para ulamak, disebutkan bahawa: “الجزاء من جنس العمل” (Balasan / ganjaran yang diperolehi bergantung kepada usaha / kerja yang setimpal dengannya).

Setiap sesuatu berlaku dengan ketentuan daripada Allah taala. Kenyang dan lapar adalah ketentuan Allah. Begitu juga sakit dan sihat, tenang dan resah, suka dan duka, berjaya dan gagal, susah dan senang, miskin dan kaya, hidup dan mati dan sebagainya; semuanya adalah ketentuan Allah taala. Semua ketentuan ini ada sebab-sebabnya masing-masing. Bersama Musabbabat diciptakan Asbab.

Allah taala mencipta ketentuan-ketentuannya tadi secara berpasangan dan kemudiannya ia memberi peluang kepada manusia untuk memilih / menentukan mana satu ketentuan yang ia suka atau kehendaki dengan berta’amul dengan sebab-sebab yang dicipta bersama-sama dengan semua ketentuan. Seseorang yang ingin menjadi kaya, ia hendaklah melakukan sebab-sebab yang boleh membawa kepada kekayaan. Begitu juga dengan ketentuan yang lainnya.

Manusia boleh mengelak daripada satu ketentuan kepada satu ketentuan yang lain; daripada ketentuan yang baik kepada ketentuan yang buruk atau sebaliknya. Begitu juga manusia boleh menolak satu ketentuan dengan satu ketentuan yang lain. Berkata Imam ibnu Qayyim al Jauzi: “Orang yang benar-benar faqeh (bijaksana) ialah orang yang menolak sesuatu qadar (ketentuan) dengan qadar yang lain, mengangkat satu qadar dengan qadar yang lain dan menentang satu qadar dengan satu qadar yang lain. Bahkan manusia tidak akan berupaya untuk hidup tanpa melakukan tindakan yang sebegini. Ini kerana lapar, dahaga, sejuk dan lain-lain lagi perkara yang ditakuti dan dibimbangi oleh manusia, semuanya adalah tergolong di dalam qadar dan semua makhluk berusaha untuk menolak qadar-qadar ini dengan beralih kepada qadar-qadar yang lain (yang mengembirakan)”.

Kita boleh mengelak daripada qadar (ketentuan) gagal dengan beralih kepada qadar berjaya.Untuk sampai kepada qadar berjaya kita hendaklah berta’amul dengan sebab-sebab kejayaan iaitu usaha dan amal. Seseorang muslim diajar supaya melakukan dua amal (kerja) untuk memastikan kejayaannya:-
1. Amal anggota (الجوارح) iaitu الأخذ بالاسباب (mengambil dan melakukan segala sebab-sebab yang membawa kepada kejayaaan).
2. Amal hati (القلب) iaitu bertawakal kepada Allah dan mengharapkan pertolongannya.

No comments:

Post a Comment